7 Cara Pilih Rakan Kongsi Perniagaan Yang Betul


Sebenarnya, ada banyak cara untuk pilih rakan kongsi perniagaan bergantung kepada keperluan dan objektif bisnes. Anda boleh gunakan cara yang dikongsikan di bawah. 

1. Jujur Dan Amanah
Sifat jujur dan amanah adalah kriteria utama yang anda perlu cari pada seorang bakal rakan kongsi. Hal ini kerana, perniagaan melibatkan banyak hal membabitkan keputusan bersama, modal, masa dan tenaga. 

Agak sukar untuk menilai sifat jujur dan amanah seseorang dalam masa singkat, tapi anda boleh tanya beberapa soalan atau uji tahap kejujuran dan amanah bakal kongsi sebelum buat keputusan ambilnya jadi rakan kongsi. 

2. Pengalaman Dalam Industri
Sebaiknya, pilih jenis rakan kongsi yang ada pengalaman dalam niche dan industri yang bakal anda ceburi.

Dengan pengalaman yang ada pada bakal rakan kongsi, anda akan dapat manfaat jangka panjang dalam merangka strategi perniagaan jangka panjang. 

Tidak semestinya rakan kongsi yang anda perlukan adalah seorang usahawan. Boleh sahaja anda cari seorang pekerja yang berjiwa usahawan sebagai rakan kongsi. 

3. Bijak Membaca Trend & Pasaran
Orang yang bijak membaca trend dan pasaran lazimnya sukar dicari. Orang jenis ini ada kefahaman yang baik terhadap psikologi manusia, perubahan musim dan pasaran domestik dan global. 

Belum tentu semua jangkaan orang itu tepat sepanjang masa, tetapi kebolehan meramal masa depan dengan baik dan teliti adalah bonus pada seorang individu yang ingin dijadikan rakan kongsi dalam perniagaan. 

4. Mampu Selesaikan Masalah Bisnes
Dalam perniagaan, anda kaan hadapi 1001 macam masalah yang akan memberi impak pada perkembangan bisnes untuk jangka panjang. Maka, carilah rakan kongsi yang mampu bersama-sama menyelesaikan masalah. 

Elakkan ambil jenis rakan kongsi yang sukar berbincang, pemarah dan bertindak semberono.

Dalam bisnes, majoriti masalah boleh diselesaikan jika anda fokus kerana hampir kesemua masalah bisnes yang bakal anda lalui, telah dilalui usahawan lain sebelum anda. 

5. Bijak Mengira Risiko & Ambil Risiko
Lumrah seorang usahawan, mereka sukakan risiko dan timbal baliknya adalah keuntungan.

Maka carilah jenis rakan kongsi yang bijak mengira risiko dalam perniagaan sebelum membuat sebarang keputusan bisnes. 

Anda akan terkejut bila mendapati, dalam kebanyakan masa risiko perlu diambil untuk mengelakkan bisnes anda gulung tikar. 

6. Ada Jaringan Networking Yang Bagus
Cari jenis rakan kongsi yang ada jaringan networking yang bagus kerana modal sosial adalah salah satu elemen penting yang menentukan kejayaan bisnes anda. 

Mengenali orang yang tepat pada waktu yang tepat adalah rezeki dan banyak waktu, networking mampu menyelematkan bisnes untuk jangka panjang. 

7. Tiada Masalah Kewangan Yang Serius
Orang yang ada masalah kewangan yang serius lazimnya tidak stabil dari segi emosi dan cara fikir untuk membuat keputusan kritikal. 

Elak daripada ambil jenis rakan kongsi yang ada masalah kewangan yang serius. Modal bisnes dan wang syarikat juga berisiko jika berada di tangan yang salah. 

Kesimpulannya, ada banyak faedah membuka perniagaan perkongsian. Akan tetapi, penting untuk anda kenal pasti ciri-ciri jenis rakan kongsi yang baik untuk bisnes. Apa yang pasti, rakan kongsi yang betul akan bantu majukan perniagaan perkongsian anda untuk jangka masa panjang.